Monday, November 26, 2012

Puisi Fahd Razy Mingguan Malaysia 2012.

IKAN DALAM JIWA II

Kulucutkan satu demi satu busana masa lalu
jubah nusiawi yang dianai-anaikan waktu
dan sepasang sepatu dilumpurkan nafsu.

Kolam di lembah kalbu, ini aku menjadi tamu
aku lagi, sebagai ikan-Mu
membawa lekit debu
dan hanyir duniawi
yang bersisik di paras usiaku. Sungguh
kejernihan fitrah yang kugenangi dulu
masih tak dikemaraukan cuaca, tak
ditohorkan sengketa.

Aku yang sihat dari setitis Maha Ilmu-Mu
maaf, kerana menjadi si Gelojoh
memudiki perjalanan tanpa menyukat tebing
meliari arus tanpa menduga dasar
dan akhirnya akulah tubuh kebodohan
yang terkapar
antara akuarium dikeruhkan lumut
dan dermaga hayat yang dijelagakan selut.

Kolam di lereng kalbu, izinkan aku lagi
tetamu batini yang digeleparkan maknawi
betapa tak terungkap tamsilan rahsia
khazanah milik-Nya yang abadi
fana milikku yang abdi.

Aku dan kolam adalah renungan
aku dan air adalah kehidupan
aku dan ikan adalah perjalanan
aku dan arus adalah kerumitan
aku dan akuarium adalah kepalsuan
aku dan dermaga adalah tujuan
aku dan Kau adalah kepasrahan
dari langit merenyai kejadian
tetap aku- cuma setitis kewujudan
dari Maha Cinta-Mu yang mengufukkan lautan.

Terlalu banyak pasang-surut berpancaroba
saat ku ditambat pukat khayali
sebagai ikan jiwawi yang dituba haloba.
Kolam di lembah kalbu, seperti dulu
mandikan aku dengan gigil iktibar-Mu
sebelum nanti kembali
kubongkar perjalanan
renang-renang ke muara kelahiran.

Fahd Razy
Kuala Terengganu
Mingguan Malaysia, 25 November 2012