Sejarah GKLN



GRUP KARYAWAN LUAR NEGARA (GKLN) mula diwujudkan pada awal tahun 2005 di Dublin, Ireland, oleh sekumpulan pelajar perubatan Malaysia yang menuntut di sana. Ketika itu GKLN dikenali sebagai Grup Karyawan Ireland (GKI) dengan jumlah ahlinya yang terawal mencapai 20 orang sahaja. Aktiviti-aktiviti GKI pada mulanya terfokus kepada perkongsian karya, berita sastera, tips-tips penulisan dan kertas-kertas kerja penulis serta pengkaji sastera yang lain melalui komuniti siber di internet. 
Di samping itu juga, GKI telah menjemput beberapa orang penulis muda dan mapan untuk membantu membimbing ahli-ahli GKI dalam berkarya melalui ulasan dan komentar yang diberikan secara maya, iaitu mel elektronik dan perkhidmatan yahoomessenger. Walaupun sebahagian besarnya berorientasikan aktiviti maya (online) Kegiatan luar talian (offline) GKI bermula dengan kerjasama Persatuan Pelajar Islam Malaysia Ireland (PPIMI) yang mengadakan bengkel penulisan bersempena program Cuti-cuti Musim Bunga sekitar Mac-April tahun yang sama.
            Pada bulan Ogos 2005, GKI dan PPIMI sekali lagi bekerjasama menganjurkan Sayembara Puisi Berunsur Islam Ireland-UK tahun 2005 buat pertama kalinya. Sayembara yang berlangsung selama tiga bulan tersebut mendapat sambutan di luar dugaan apabila sebanyak hampir 30 buah sajak telah diterima untuk dinilai. Encik Shamsudin Othman telah bertindak sebagai hakim bagi sayembara tersebut dan majis penyampaian hadiah berlangsung di Waterford, Ireland sempena program Perhimpunan Ukhuwah Insaniah Seluruh Ireland 2005. Selepas berakhirnya sayembara pada tahun 2005, didapati jumlah ahli GKI telah meningkat secara mendadak. Lebih mengujakan lagi apabila terdapat banyak permohonan untuk menjadi ahli di kalangan pelajar-pelajar luar Ireland-United Kingdom seperti Australia, Rusia, Jepun, dan United States. Atas desakan tersebut maka GKI telah diubah namanya kepada Grup Karyawan Luar Negara (GKLN) dan keahliannya dibuka kepada pelajar-pelajar Malaysia di seluruh dunia. 
Sehingga kini, GKLN mempunyai sekitar 500 orang ahli dari pelbagai negara seperti Jepun, Rusia, Ireland, United Kingdom, United States, Jordan, Mesir, Australia, Ukraine, Jerman, Perancis, Republik Czech, Sudan, India, Indonesia, China, New Zealand, Morocco, dan lain-lain. Para ahli GKLN juga mengambil jurusan pendidikan yang pelbagai termasuklah perubatan, farmasi, bioteknologi, akauntan, teknologi maklumat, pengkomputeran, kejuruteraan, senibina, bahasa, kimia, syariah, dan sebagainya.
Bagi membantu melicinkan aktiviti, GKLN telah melantik beberapa orang moderator di sesetengah negara bagi membantu menguruskan aktiviti GKLN di negara tersebut. Misalnya pada tahun 2007, komuniti Grup Karyawan Luar Negara United States (GKLN-US) dan Grup Karyawan Luar Negara Morocco (GKLN-Morocco) telah diwujudkan. Selain daripada itu, kegiatan berorientasi sastera dan penulisan kian berkembang di negara-negara lain seperti wujudnya Lingkaran Sahabat Sastera Adelaide, Ikatan Penulis Mahasiswa di Indonesia (IPEM) dan Kelab Penulisan Irbid yang saling bekerjasama dengan GKLN.
            Aktiviti-aktiviti GKLN juga bertambah pesat dan menggalakkan. Beberapa siri sayembara puisi dan cerpen telah dianjurkan hampir saban tahun. Pada tahun 2006, Sayembara Puisi Berunsur Islam Ireland-UK II dianjurkan. Pada tahun 2007-2008 pula GKLN mula memberi tumpuan kepada penulisan cerpen melalui penganjuran Sayembara Cerpen Berunsur Islam GKLN 2008 yang mendapat sambutan menggalakkan. Sayembara Puisi dan cerpen GKLN turut dianjurkan beberapa kali sepanjang tahun 2009 sehingga 2012. Terkini pada tahun 2012 dan 2013, GKLN telah menganjurkan beberapa siri sayembara hampir serentak iaitu Sayembara Puisi Dunia 2012, Sayembara Puisi Berunsur Islam GKLN-KMS 2013, Sayembara Puisi Zon Eropah-US, Sayembara Puisi Zon Asia-Australasia, dan Sayembara Puisi Zon Timur Tengah-Afrika. Setiap sayembara yang dianjurkan mendapat sambutan memberangsangkan dan karya-karyanya telah dibukukan dalam pelbagai naskhah antologi.   
            Pada bulan Februari 2007 GKLN telah menganjurkan sidang bengkel maya (secara online conference) dengan kerjasama Adabuna, komuniti penulis dari Timur Tengah. Bengkel yang julung-julung kali diadakan ini telah dijayakan oleh tiga orang pembimbing berpengalaman iaitu Puan Nisah Hj Haron, Faisal Tehrani, dan Zaid Akhtar. Selain daripada itu, GKLN turut terlibat melalui persembahan deklamasi sajak dalam beberapa majlis dan acara anjuran persatuan di luar negara seperti PPIMI dan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMAM). Pada Ogos 2007 pula, GKLN telah berkerjasama dengan pihak Dewan Bahasa dan Pustakan (DBP) bagi menjayakan Bengkel Penulisan Musim Panas Karyawan Muda Luar Negara di Mandarin Court Hotel dengan bimbingan Puan Zaharah Nawawi, Puan Salmiah Ismail, Pn Nisah Haron dan Faisal Tehrani. Rentetan kejayaan tersebut, Bengkel Penulisan Musim Panas Karyawan Muda Luar Negara turut dianjurkan pada tahun 2008, 20010, dan 2012. 
            Menyedari perlunya mengekalkan momentum perkembangan pesat GKLN, bermula tahun 2011 usaha giat dijalankan bagi membentuk pelapis GKLN di kalangan pelajar-pelajar persediaan luar negara di kolej tempatan seperti Kolej MARA Seremban, Kolej Mara Banting, Intec Shah Alam, Kolej MARA Kuala Nerang dan sebagainya. Beberapa siri Bengkel Penulisan GKLN-KMS-KMB telah dianjurkan dengan jayanya pada Januari dan April 2012. Pada Januari 2013 julung kali dianjurkan Bengkel Penulisan GKLN-KMS selama 3 hari yang melibatkan peserta dari pelbagai kolej persediaan di Malaysia. Para pelapis ini berpeluang menyertai beberapa projek penerbitan  GKLN di samping sayembara puisi. Nama-nama berpotensi seperti Munirah Jamaluddin, Fizha Nur, dan Nur Amalina Samar pula kian mendapat perhatian pemerhati sastera.
            Melalui penubuhan GKLN/GKI banyak bakat-bakat penulis baru dan lama yang berpotensi telah dapat dicungkil. Selain mendapat tempat dalam beberapa buah sayembara, sebahagian ahli GKLN turut berjaya menembusi media cetak tanah air, selain menerbitkan novel, kumpulan cerpen, dan kumpulan puisi. Antara yang kian menonjol seperti Rebecca Ilham, Hazwan Ariff Hakimi, Shahkang, Muhammad Teja, Syafiq Zulakifli, Iwan Ghazali, Thoyba Mursyidah, Aisyah Madidy, Muzaf Ahmad, Amirul Hamudin, Rifhan Rasuli, Rasydan Fitri, Khairil Idham Ismail, Adibah Abdullah, Siddiq Osman, Zuhaida Zainon, Nurul Lailati Mahat, Faisal Mat Zawi, Muhaimin Sulam, Shafiq Said, Muhammad Iqbal, dan sebagainya.
            Melalui sayap publikasinya GKLN telah berjaya menerbitkan 12 naskhah buku (sehingga 2012) secara konsisten pada setiap tahun termasuk 3 naskah kumpulan puisi persendirian. Bahkan pada September 2012, satu majlis pelancaran naskhah dan baca karya telah diadakan di rumah PENA yang disempurnakan oleh SN Anwar Ridhwan selain dihadiri para tokoh dalam dunia penulisan.
            Dalam masa yang sama GKLN turut bekerjasama dengan pelbagai persatuan dan kumpulan khasnya yang berkaitan dengan sastera dan penulisan baik secara individu mahupun kelompok besar. Ini termasuklah menyertai program deklamasi puisi, pementasan teater, penerbitan dan editorial, pengadilan sayembara, diskusi, dan sebagainya.
Melalui sokongan dan penglibatan aktif para ahli, usaha menggalakkan dan mengukuhkan kegiatan penulisan dan sastera di kalangan pelajar luar negara diharap dapat terus giat dan bersubur, sekaligus menyumbang kepada pengayaan khazanah sastera tanah air. Diharap peranan GKLN akan terus diperkemas dan diperkembang seterusnya menawarkan sesuatu yang baru kepada perbendaharaan sastera tempatan.