Saturday, August 31, 2013

Puisi Fahd Razy, Mingguan Malaysia 1 September 2013




Nota Renyuk Kepada El Sisi

Khabar apa tuan Jeneral, enak
menghirup cigar merah
asapnya ghairah, dicucuh
api Rabiah yang berunggun syuhadah.

Mesir bernafsu baru, kata tuan. Segak
uniform kuasawan, elit militari
berwatak militan. Poket kanannya
merah-biru dolar seberang. Poket kiri
seribu duaribu kepala demonstran
juga sekantung gigi agamawan. Uh!
Khabar apa tuan Jeneral, lunaknya
mimpi-mimpi demokrasi
longlai revolusi
meleleh liur di sofa kudeta
berahinya kecur di propaganda junta.

Ya. Kebatilan kepada haq
adalah gagak kepada helang.
Bukankah tuan, Jalut juga semut
di mata Daud? Namrud juga
dinyanyukkan seekor nyamuk. Pula sini
syurga pejuang, pertiwi helang-helang.
Leher Ikhwan dikelar,
Mursi dan Badie’ tersangkar- ini kan garuda
tetap bayangnya mencakar
berdegup berlegar
ke dada jelatawan yang gelepar.

Khabar apa tuan Jeneral, kenalkan ini
namanya mujahid, mimpinya
dahi bermohor syahid. Lepaskan saja
tali singaserigala tuan, keliaran ke jalanan
mengonggong tengkuk
murbawan muda yang nyanyikan
keadilan- Uh!

Ini lebuhraya ke temasya abadi.
Kematian, kan cuma sekeping pintu
dan kuncinya, tuan
adalah lesat sebutir peluru.

Fahd Razy
Kuala Terengganu
21 Ogos 2013
(Mingguan Malaysia, 1 September 2013)

Puisi khas untuk Jeneral Abd Fattah As Sisi yang mengepalai rampasan kuasa di Mesir ke atas presiden Morsi.

No comments:

Post a Comment