Petikan dari laman web Bernama
( http://www.bernama.com.my/bernama/v7/bm/fe/newsfeatures.php?id=976178 )
Oleh Melati Mohd Ariff
KUALA LUMPUR (Bernama) -- Anak muda ini bukan calang-calang orangnya.
Dia pelajar pintar, memperoleh 9A dan 10A, masing-masing dalam
Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Walaupun dari aliran sains dan minat matematik, dia meminati bidang
penulisan. Bakat ini bagai permata yang digilap, semakin terserlah
apabila dia berjaya menghasilkan lima buah novel remaja setakat ini.
Melodi Hati, Hazim, Aizat & Muzik, Brrr... Sejuknya Salji!, Diari
Untuk Ibu dan Goodbye New York. Ini adalah tajuk-tajuk novel yang
dihasilkan dalam tempoh empat tahun bermula 2009 hingga 2012.
Anak muda yang dimaksudkan ialah Ridzuan Mohd Ghazali yang menggunakan
nama pena, Iwan Reaz dan Iwan Ghazali untuk novel yang dihasilkan
sebelum ini.
MINAT MENULIS
Berusia awal 20-an, anak jati negeri Selangor Darul Ehsan ini mengasah
bakat menulis sejak tingkatan dua. Ketika itu dia belajar di Sekolah
Agama Hulu Langat, Batu 10, Cheras.
"Saya selalu fikir apa nak buat selepas peperiksaan akhir sekolah.
Biasanya bila habis periksa akhir penggal, pergi sekolah dah tak ada apa
nak buat.
"Saya nak buat sesuatu yang bermanfaat. Dari situlah saya terfikir nak tulis novel," katanya.
Menurut anak bongsu daripada dua beradik ini, dia bukan penggemar novel meskipun mempunyai koleksi tersendiri.
Menurut Ridzuan, beliau lebih suka membaca komik remaja dan untuk novel beliau lebih gemar yang berbentuk penyiasatan.
Semasa di tingkatan tiga, beliau kerap menyertai pertandingan menulis esei dan sekurang-kurangnya pasti mendapat tempat ketiga.
Ridzuan sememangnya suka berimaginasi dan kebanyakan ilham datang
selepas membaca novel atau menonton filem dan dia akan mengumpulkan
babak imaginasi itu di dalam komputer.
NOVEL SULUNG
Untuk novel pertamanya, dia mula serius menulis semasa semester akhir
di Kolej INTI, Nilai sewaktu mengikuti American Degree Transfer
Programme.
"Dalam tempoh empat bulan itu saya hanya mengambil dua subjek. Banyak
masa lapang dan saya beri tumpuan untuk menyiapkan novel itu.
"Saya ada tiga bulan masa kosong sebelum ke luar negara dan
alhamdulillah saya menyiapkan novel pertama saya dalam tempoh sebulan
sahaja," kata Ridzuan.
Apabila manuskrip novel itu siap, Ridzuan berdepan pula dengan persoalan siapa yang boleh menerbitkannya.
"Sebagai orang baru dalam bidang penulisan, saya tak tahu macam mana
nak terbitkan. Saya tanya jiran-jiran yang terbabit dalam multi-media.
Mereka suruh saya ke kedai buku dan semak nama-nama penerbit," katanya.
Untuk novel pertama ini, Ridzuan cuba membuat kelainan dengan
menyertakan CD lagu di mana lirik serta melodi ditulisnya sendiri.
Penulis muda ini berada di Amerika Syarikat bila novel sulungnya
"Melodi Hati" diterbitkan oleh Telaga Biru tetapi tanpa disertakan
dengan CD lagu.
Ridzuan berkata, beliau hanya memberitahu ibu bapanya mengenai novel yang ditulisnya itu apabila manuskripnya diluluskan.
"Saya tak beritahu dari awal sebab bimbang ia tak menjadi. Meskipun
mereka terkejut tetapi mereka tidak menghalang saya menulis. Malah emak
membantu saya membaca manuskrip saya sebelum saya kemukakan kepada
penerbit.
"Kawan sebilik saya di INTI pun terkejut bila novel saya diterbitkan.
Dia tanya bila saya menulis," cerita Ridzuan yang kini berkhidmat
sebagai eksekutif latihan dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
(Bernama).
TEMA KELUARGA
Hubungan kekeluargaan serta hubungan adik-beradik adalah tema pilihan Ridzuan untuk novel-novelnya.
Sebagai contoh, novel pertamanya, Melodi Hati memaparkan hubungan abang
(Iwan) dan adik (Syahmi) yang berdepan dengan banyak konflik setelah
kematian ibu bapa mereka. Ia termasuk cabaran Iwan membesarkan adiknya,
Syahmi dalam dia meneruskan kerjayanya sebagai penggubah lagu dan
penulis lirik.
Begitu juga novel kedua 'Hazim, Aizat & Musik yang berkisar
mengenai kehidupan dua beradik Hazim dan Aizat. Hazim memikul
tanggungjawab membesarkan adiknya setelah kehilangan ibu bapa mereka.
Hubungan kedua-dua beradik ini menjadi renggang dan tegang apabila
Hazim ke luar negara untuk menyambung pelajaran tanpa berbincang dengan
Aizat.
Menurut penulis muda ini, beliau cenderung menggunakan tema itu
memandangkan generasi muda sekarang lebih mengutamakan kawan-kawan serta
kerjaya mereka.
"Akibatnya keluarga terabai. Saya ingin melihat generasi muda khususnya
yang masih bersekolah supaya dapat mengubah minda bahawa institusi
keluarga itu adalah penting.
"Saya ingin mendidik generasi muda mengenai hal ini menerusi tulisan
novel yang saya hasilkan supaya mereka lebih berakhlak. Sekarang ini pun
kita risau dengan isu keruntuhan moral dalam kalangan anak muda," kata
Ridzuan.
PENTINGKAN NILAI
Setelah menghasilkan lima novel, Ridzuan sedang dalam proses menghasilkan beberapa buah novel lagi.
Beliau kini sibuk menyiapkan novel misteri "Subway" di samping menyiapkan kertas cadangan novel remaja "Mr. Novelist".
Bagi penulis muda ini, dalam apa jua keadaan dia lebih mementingkan nilai yang hendak diterapkan dalam memilih tema novel.
"Saya pentingkan kebaikan. Kalau saya tulis yang baik, ia adalah tiket
untuk saya ke syurga. Sebaliknya jika saya menulis yang tak baik dan
orang baca serta amalkan, saham yang tak baik itu akan dapat pada kita
juga.
"Ini cara saya berdakwah iaitu menyebarkan kebaikan menerusi penulisan," tambahnya.
Ridzuan turut memberitahu bahawa novel berikutnya bertemakan percintaan tetapi cinta Islami, berlandaskan hukum Islam.
Dia juga berminat untuk menerbitkan komik dengan bantuan sepupunya yang boleh melukis komik.
"Kami akan bekerjasama dan berharap komik ini berjaya diterbitkan.
Sasaran kami ialah untuk ia dipasarkan semasa Pesta Buku Antarabangsa
tahun depan," kata Ridzuan.
CABARAN MENULIS
Menulis novel sesungguhnya memerlukan komitmen serta disiplin diri yang kuat seperti yang dikongsi Ridzuan dengan penulis.
Dia menyifatkan idea untuk menulis sebagai air laut.
"Kalau idea mencurah-curah, satu hari boleh siap dua bab. Ada masa nak dapat satu muka pun susah," kata Ridzuan.
Dia berdepan dengan cabaran itu apabila menulis novel keduanya, 'Hazim, Aizat & Muzik'.
"Ketika pelajar lain pergi bercuti semasa cuti semester, saya pula perlu menulis novel saya.
"Lepas itu saya mula bijak mengatur masa. Selepas solat maghrib saya akan menulis sekurang-kurangnya sejam," katanya.
Ridzuan mengakui dia mengambil masa yang agak lama untuk menyiapkan
novel keduanya kerana waktu itu dia baru memulakan pengajian dalam
bidang Ijazah Pentadbiran Perniagaan, pengkhususan Sains Aktuari
(Actuarial Science) di Amerika Syarikat.
Novel keduanya itu diterbitkan oleh Galeri Ilmu di bawah nama pena Iwan Ghazali.
Ridzuan memberitahu novel-novelnya yang telah diterbitkan setakat ini
boleh dibeli antaranya di kedai buku Popular, MPH dan Badan Bookstore.
Novel berkenaan juga boleh dibeli dalam talian (online) melalui laman web penerbit).
GEMAR RAKAM VIDEO
Satu lagi kegemaran Ridzuan ialah merakam video. Ia bermula sewaktu di
tingkatan tiga apabila dia dipilih untuk menjadi pelakon tambahan untuk
satu telemovie bertajuk "See You di IPT" yang penggambarannya dibuat di
sekolah agama tempat beliau belajar.
"Bermula daripada situ datang minat untuk berlakon dan menjadi
pengarah. Bukan untuk menjadikannya satu kerjaya tetapi untuk kepuasan
diri sendiri.
"Bila saya cuba bermain dengan video saya rasa seronok. Saya rasa macam
ada satu kemahiran yang saya boleh gilap lagi," kata Ridzuan dengan
menambah dia banyak menghasilkan video sewaktu di sekolah dan ketika
belajar selama tiga tahun di Temple Universiti, Philadelphia, Amerika
Syarikat.
Bagi Ridzuan, pengalaman belajar selama tiga tahun di Amerika Syarikat masih menggamit kenangan.
Berpisah daripada keluarga buat pertama kali banyak mengajarnya erti
berdikari dan meskipun di bumi yang serba asing, dia masih berpegang
teguh kepada ajaran Islam.
"Kalau hendak diikutkan berparti hujung minggu itu biasa tetapi saya berada dalam kelompok yang masih dekat kepada Islam.
"Dari segi belajar, kami bercampur dengan masyarakat tetapi untuk kehidupan seharian, kami lebih dekat dengan komuniti sendiri.
"Alhamdulillah saya tidak terpengaruh dengan cara hidup Barat," kata Ridzuan.
Antara pengalaman manis di Amerika Syarikat bagi anak muda ini ialah meraikan Aidil Fitri di perantauan.
"Pada 2009 saya beraya di Philly (sebutan lazim untuk Philadelphia).
Tahun berikutnya kami ke New York, menyambut hari raya bersama Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Kami semua berpakaian baju Melayu, suasana meriah sekali," Ridzuan memberitahu penulis.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment